Berita baik buat pencinta alam semulajadi dan juga sukan lasak kerana kini ada satu lagi tempat menarik yang wajib anda pergi apabila berkelapangan! Di manakah tempatnya? Tidak jauh hingga ke luar negara pun, cukup sekadar di dalam negara. Mari, kami perkenalkan tempat riadah dan beristirehat terbaru di Malaysia iaitu Tadom Hill Resort, Banting.

Resort yang baru sahaja dibuka ini masih lagi belum dikenali ramai tetapi berdasarkan ulasan-ulasan para pengunjung yang pernah ke sana, ternyata Tadom Hill Resorts menjanjikan 1001 pengalaman serba segar dan menarik buat mereka. Ini yang buatkan kami juga tidak sabar-sabar untuk merasai sendiri pengalaman berkunjung ke sana!

Oh ya, untuk makluman anda, Tadom Hill Resorts ini terletak di kawasan yang strategik, di mana ia cuma 12 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 45 minit dari Kota Kuala Lumpur. Dengan keluasan seluas 40 ekar yang merangkumi kawasan bukit batu kapur, tasik nan indah serta pokok-pokok yang menghijau, Tandom Hills Resorts menjanjikan panorama alam semulajadi yang indah dan menawan hati. Kalau tak percaya, anda boleh lihat sendiri melalui gambar-gambar yang dikongsikan oleh pihak resort. Cantik, bukan?

Tadom Hill 09Pemandangan pada waktu senja

Tadom Hill 06Alam semulajadi yang menghijau

Tadom Hill 07Hammocks yang disediakan sebagai tempat penginapan, menjanjikan kelainan buat pengunjung

Tadom Hill 08Bersantai bersama yang tersayang

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang anda dapat lakukan di sini, antaranya adalah berkhemah, team building, bermain bola Zorb, bermain rakit buluh, berkayak, rock climbing, zip lining dan macam-macam lagi. Selain itu, Tadom Base iaitu salah satu kawasan di Tadom Hill Resorts juga merupakan lapangan cabaran paling sukar di Malaysia yang turut menempatkan aktiviti cabaran seperti siri Warriors. Hebat!

Atau mungkin anda lebih sukakan aktiviti santai seperti bermain Tarzan swings, berehat-rehat di kerusi terapung atau sekadar berenang di dalam air yang jernih yang disediakan di Tadom Groove, iaitu tempat rekreasi utama di resort tersebut. Selain itu, anda juga boleh melepaskan tekanan dan menikmati persembahan langsung daripada para penghibur. Tambahan lagi, anda juga boleh sekadar bermalas-malasan di atas beanbags ataupun hammocks yang disediakan di kawasan sekitarnya. Pasti menyeronokkan!

Tadom Hill 03Tapak perkhemahan buat pengunjung

Tadom Hill 02Bermain rakit buluh

Tadom Hill 01Suasana yang mendamaikan

Tadom Hill 11Persekitaran yang menenangkan jiwa

Tadom Hill 05If you can’t beat them, join them!

Dan berikut adalah antara komen-komen daripada para pengunjung yang pernah hadir ke Tadom Hill Resorts.

Tadom Hill 00Antara komen ikhlas daripada para pengunjung

Untuk maklumat lanjut, anda bolehlah melayari ke laman web rasmi Tadom Hill Resorts atau laman Facebook mereka di sini. Di kesempatan ini, kami juga ingin berpesan-pesan kepada mereka yang merancang untuk ke sana agar menjaga dan memelihara kebersihan serta keindahan kawasan sekitar. Sudah banyak tempat menarik yang dibiarkan tercemar tanpa penjagaan bersama, kami harap di Tadom Hill Resorts ini, kita dapat bersama-sama memelihara serta memulihara alam semulajadi yang indah dan suci ini.