Kebanyakan khabar angin berkenaan syarikat Apple sedang membina sebuah kenderaan merupakan hasil angan-angan dan perbincangan antara para peminat Apple yang teruja serta mahukan suatu ciptaan baharu dan unik.

Setakat ini, hanya teori dan rekaan olok-olok sahaja yang dapat kita ketahui berkenaan topik kereta Apple ini. Tiada sebarang fakta sebenar yang dapat dikaitkan untuk memberitahu bahawa sesuatu sedang berlaku.

Namun begitu, akhbar The Guardian telah melaporkan terdapatnya surat-menyurat antara jurutera Apple, Frank Fearon dan seorang pegawai daripada kemudahan ujian kereta, GoMentum Station.

“Kami mahukan kesefahaman untuk masa dan kesediaan untuk ruang, serta bagaimana kami perlu menyelaraskan antara pihak yang akan menggunakannya,” lapor akhbar tersebut berkenaan surat Fearon. Nota tersebut telah dihantar pada Mei lalu.

GoMentum Station terletak di Concord, sebuah bandar yang terletak 30 minit perjalanan menuju utara dari kota San Francisco. Ia merupakan sebuah kemudahan yang dibina khusus untuk menguji teknologi kenderaan tanpa pemandu. Litar ujiannya dengan kepanjangan hampir 32 km itu mencipta semula beberapa senario dunia sebenar sewaktu ujian berlangsung.

GoMentum Station Aerial View - The CarpediaPandangan udara di GoMentum Station

Projek Titan

Jadi, apakah yang boleh diketahui berkenaan cita-cita Apple untuk mencipta sebuah kereta ini?

Tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu sesuatu perkara untuk pertama kalinya, bahawa terdapat satu bukti yang memberitahu sebuah perancangan sedang berjalan.

Hingga kini, kita hanya mengetahui bahawa pihak Apple telah menggaji beberapa pakar industri kenderaan ke dalam jawatan-jawatan tinggi di syarikatnya. Tambahan lagi, mereka juga dikatakan sedang mengusahakan sesuatu yang dipanggil Projek Titan. Namun, perkara ini tidak pernah disahkan oleh pihak Apple.

Oleh itu, surat daripada Fearon kepada GoMentum Station telah menambah sedikit kredibiliti terhadap khabar angin ini.

“Kami berharap untuk melihat pembentangan mengenai lapangan uji termasuklah susun atur, gambar dan juga penerangan bagaimana pelbagai kawasan di situ dapat digunakan,” tambah surat Fearon tersebut.

GoMentum secara semula jadinya berada di bawah perjanjian ketakdedahan yang ketat, namun mereka telah mengesahkan bahawa Apple “berminat”.

Amat Mengganggu

Awal tahun ini, Naib Presiden Apple, Jeff Williams telah berkata bahawa kenderaan tersebut pastinya menjadi sebuah peranti mudah alih utama. Ini merupakan lapangan yang pastinya Apple akan berasa teruja untuk menceburinya.

Persoalannya kini ialah sejauh manakah ciptaan yang akan dilakukan oleh Apple ini? Adakah Apple benar-benar bercadang untuk mewujudkan sebuah kenderaan yang secara keseluruhannya merupakan buatan syarikat itu?

Atau mungkin mereka sekadar berpuas hati dengan menyediakan perisian canggih untuk pembuat kereta sedia ada bagi kegunaan kereta mereka?

Semua persoalan ini masih belum dapat dijawab, dan semestinya pihak pengeluar kenderaan akan lebih mengambil berat berkenaan berita-berita berkaitan hal ini. Seperti kenyataan Sergio Marchionnes kepada BBC, seorang pengurus di Fiat, perancangan Apple untuk pemasaran kenderaan pasti akan sangat mengganggu pasaran sedia ada.

Walau apa pun pendekatannya, kita pasti tidak akan mengetahui sebarang maklumat lanjut mengenai hal ini selagi pihak Apple masih belum bersedia. Di samping itu, GoMentum yang mengekalkan sejarah tenteranya, memiliki sistem kawalan bersenjata 24 jam di sekitar kemudahan tersebut.

Sumber: BBC