Proton telah melanjutkan tarikh tutup untuk penghantaran penyertaan Pertandingan Reka Bentuk Proton 2015 sehingga 17 September ini. Ini memberikan ruang kepada para peserta, khususnya pelajar-pelajar sekolah menengah, masa tambahan untuk menyertai pertandingan ini di samping perlunya membahagikan jadual mereka di antara cuti perayaan dan juga persediaan peperiksaan Penilaian Tahap 3 (PT3). Kami melihat ini sebagai suatu langkah yang baik oleh pihak Proton dalam menggalakkan lebih banyak penyertaan.

Proton 02

Untuk pengetahuan anda, tema pertandingan kali ini memfokuskan kepada konsep kereta untuk keluarga di Malaysia, di mana rekaan tersebut perlu menampilkan ciri-ciri teknologi sehingga ke 20 tahun akan datang. Selain itu, ciri estetika rekaan kereta perlulah mencerminkan gaya hidup serta nilai-nilai rakyat Malaysia, namun harus juga menampilkan sentuhan global. Seperti pertandingan sebelumnya, para peserta boleh menggunakan sebarang medium yang mereka selesa untuk melakar reka bentuk yang difikirkan, sama ada secara digital, pensel dan juga kertas. Menariknya, hadiah wang tunai yang ditawarkan sehingga RM15,000 menanti para pemenang.

Proton 03

Peraturan kelayakan pertandingan telah diubah sedikit pada tahun, tetapi masih terbuka kepada dua kategori pertandingan. Kategori 1 terbuka untuk penyertaan berkumpulan sehingga maksima 3 orang pelajar setiap kumpulan. Ahli kumpulan hendaklah berusia dalam lingkungan 13-17 tahun. Namun begitu, penyertaan bagi kategori ini mesti dilampirkan sekali pengesahan oleh pihak sekolah masing-masing, sama ada oleh pengetua mahupun guru besar beserta cop sekolah.

Seterusnya, Kategori 2 pula terbuka kepada semua individu yang berusia 18 tahun ke atas. Tiada syarat umur kelayakan bagi kategori ini, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tetapi, pertandingan reka bentuk ini hanya membenarkan rakyat Malaysia sahaja untuk menyertainya, dan mereka hendaklah memiliki sekeping kad pengenalan Malaysia yang sah.

Format penghantaran penyertaan juga telah diubah bagi pertandingan kali ini. Setiap peserta kini turut dikehendaki menghantar lakaran pembangunan luaran, sama ada dilukis menggunakan media tradisional atau tablet lukisan digital. Ini adalah tambahan bagi tafsiran ilustrari akhir yang juga perlu dilukis menggunakan lukisan tangan atau berbentuk 3D. Syarat penyertaan ini telah mula diperkenalkan sejak pertandingan tahun lalu.

Proton 04

Tambahan syarat bagi peserta Kategori 2 juga, mereka kini diperlukan untuk menyediakan gambar rajah reka letak kenderaan yang menggambarkan kedudukan rangkaian kuasa serta peralatan dalaman, termasuklah tafsiran ilustrasi 2D dan 3D reka bentuk dalaman.

Selain daripada itu, para peserta juga perlu menyediakan sekali sekeping kertas bersaiz A4 yang menerangkan keterangan rekaan mengandungi tajuk rekaan, konsep rekaan serta cadangan jualan yang unik dalam jualan kereta tersebut. Untuk pertandingan kali ini, setiap peserta dibenarkan menghantar sebanyak maksima tiga (3) reka bentuk melalui penghantaran pos sahaja. Borang penyertaan boleh dimuat turun di sini atau didapati di pusat jualan Proton yang terpilih.

Sumber: PaulTan.org