Syarikat pengeluar kereta, Naza Automotive Manufacturing (NAM) Sdn Bhd hari ini telah menghentikan kira-kira 300 pekerjanya selepas jualan kenderaan jatuh tahun ini semenjak pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu. Seramai 255 kakitangan, 30 Jawatankuasa NAM dan selebihnya kakitangan pentadbiran terpaksa dihentikan.

Sebuah majlis perpisahan telah diadakan bagi meraikan mereka yang diberhentikan di Dewan Seri Zaleha di Gurun, Kedah. Majlis perpisahan ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Operasi NAM, Roslan Abd Ghani dan ucapan pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja seperti yang terkandung di dalam atur cara majlis yang diterima oleh The Malaysian Insider.

Semua kakitangan yang telah diberhentikan itu diberi surat pemberhentian kerja semasa majlis yang sama. Cubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi ibu pejabat NAM di Kedah bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenainya bagaimanapun gagal mendapat sebarang maklum balas.

NAM merupakan salah sebuah syarikat pengeluar kereta di bawah Kumpulan Naza yang telah memulakan operasi pada Mei 2004. Syarikat itu memiliki 1,000 tenaga kerja dan menjalankan kerja pemasangan kereta Peugeot dan Kia untuk pasaran tempatan serta luar negara.

Jualan kenderaan keseluruhan pada Julai tahun ini susut kepada 58,646 unit daripada 60,269 unit yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu. Jumlah yang rendah itu disebabkan jualan kurang memberangsangkan dalam segmen kenderaan penumpang dan komersial, seperti yang dinyatakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jualan kenderaan keseluruhan susut kepada 380,830 unit dari Januari hingga Julai berbanding 393,425 unit bagi tempoh yang sama tahun lepas, lapor MAA seperti yang dinyatakan di dalam laman rasminya. Tambahan lagi, MAA telah menjangkakan jualan kereta tahun 2015 pasti akan menurun akibat pelaksaanaan GST kerana orang ramai mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sumber: The Malaysian Insider