Mari kenali Benson, seorang jejaka muda dari negara seberang, Singapura. Kami juga baru berkenalan dengan beliau melalui laman blognya. Untuk makluman anda, Benson kini sedang mengembara dari Singapura ke Kota London melalui jalan darat dengan perkhidmatan kenderaan awam. Menarik, bukan?

Siapa Benson

Sedikit latar belakang mengenai lelaki yang mahu dikenali sebagai Ben ini. Dia baru sahaja menginjak usia 30 tahun beberapa hari yang lalu. Pernah bekerja sebagai seorang eksekutif pemasaran untuk sebuah non-profit organization tetapi telah berhenti kerja baru-baru ini. Penggemar kopi sebelum memulakan kehidupan sehariannya, Ben juga kadangkala menyukai teh bunga untuk menenangkan jiwanya. Dia seorang yang kidal serta sangat suka merakam gambar-gambar kenangan.

1-benkeepswalking-0002

Benson ketika di dalam pengembaraannya.

Mengapa Ben Memilih Pengembaraan Ini

Pasti anda tertanya-tanya, mengapa lelaki berusia 30 tahun ini begitu tekad untuk melakukan sesuatu yang agak drastik. Ya, pengembaraan yang panjang ini pastinya memakan masa, tenaga dan wang ringgitnya. Namun, Ben punya alasan tersendiri.

Menurutnya, dia masih mempunyai tubuh fizikal yang sihat dan mantap. Tambahnya, sekiranya pengembaraan ini dilakukan kemudian hari, pasti tubuh tuanya sudah tidak mampu lagi bergerak cergas seperti sekarang. Selain itu, dia juga memberi alasan “Kenapa tidak?” memandangkan dirinya yang masih mampu untuk menghadapi rintangan-rintangan sepanjang pengembaraan ini.

Kedua, Ben merasakan impian bucket list adalah tidak sesuai pada konteks masakini. Kebanyakan melihat impian bucket list sebagai sesuatu yang perlu dilakukan sebelum seseorang itu meninggal dunia. Namun, hanya segelintir sahaja yang benar-benar berani menghadapi cabaran lalu menggariskan senarai tersebut sebagai tanda sudah berjaya dicapai. Bagi Ben, barangkali kebanyakan orang merasakan kematian itu tidak akan menyapa mereka dalam masa terdekat lalu mereka punya masa yang banyak untuk melakukan impian bucket list tersebut. Atau mungkin juga, impian bucket list cumalah satu perasaan romantis atau angan-angan yang cukup sekadar mencoret di kertas.

Ben turut menganggap ini adalah peluang untuknya menikmati sabbatical break tersendiri. Dia sudah lama menanam impian untuk melakukan pengembaraan ini sejak tahun 2011 tetapi ketika itu dia tidak memiliki keazaman dan duit. Sementelahan dia baru sahaja berhenti kerja, ini merupakan masa yang terbaik untuk dia memulakan pengembaraan tersebut. Walaupun di negara Singapura, untuk berhenti kerja tanpa mempunyai peluang pekerjaan seterusnya adalah sesuatu perkara yang gila!

Bagaimana Benson Meneruskan Kembaranya

Pengembaraan Ben ini bermula saat dia menjejakkan kaki ke Malaysia dan seterusnya dia akan mengembara ke Utara menuju Thailand, Laos dan Vietnam. Di kesempatan itu, Ben akan berhenti singgah di beberapa kota seperti Bangkok, Vientiane dan Hanoi. Kemudian, Ben akan meneruskan perjalanannya ke Beijing, China di mana dia akan memulakan perjalanan kereta api yang terkenal iaitu Trans-Siberian Railway menuju ke Moscow, Rusia. Seterusnya dari Moscow, Ben akan berwisata di kawasan negara-negara Eropah sebelum meneruskan kembara ke Kota London. Menurut rancangan Ben lagi, dia akan bersiar-siar di sekitar England dan London untuk beberapa minggu sebelum terbang pulang ke Singapura.

Kira-kira 86 hari diperlukan untuk Ben melalui kembara ini, termasuklah masa yang diambil untuk bersiar-siar di sekitar kota terpilih. Namun Ben belum lagi menetapkan kota apakah yang akan dijelajahinya kelak kerana dia mahu mengekalkan keseronokan dan keterujaan dengan pilihan begitu.

Ben turut mengongsikan laluan perjalanan yang akan dilaluinya di dalam pengembaraan ini. Laluan yang dipilihnya adalah berwarna biru dan merah.

Peta Laluan Trans-Siberia

Bagaimana? Jujur kami katakan, kami teruja dengan keazaman dan tekad yang ditunjukkan oleh Ben. Kami tidak sabar menanti perkongsian-perkongsian seterusnya daripada Ben. Anda semua boleh ikuti pengembaraannya di blog yang dibina khusus untuk tujuan kembara ini di Ben Keeps Walking. Ayuh, sama-sama menanam impian untuk mengikuti jejak Ben juga!

Sumber: Ben Keeps Walking