Kenderaan Baru

Apabila anda membeli kereta, semua peralatan di dalamnya adalah serba baharu, termasuklah kotak gear tersebut. Sekiranya anda perhatikan, ada dinyatakan bahawa setiap pemilik kenderaan perlu menghantar kereta untuk servis penyelenggaraan apabila kereta tersebut telah mencecah perbatuan sejauh 1,000km. Servis pertama ini adalah semakan terakhir yang perlu dilakukan pada semua kereta oleh pengeluar kereta. Perkara yang akan diperiksa pada servis pertama ini termasuklah menukar semua jenis minyak pada kenderaan termasuklah minyak kotak gear. Pemilik kenderaan dinasihatkan untuk tidak mengabaikan servis pertama ini kerana pada masa itulah minyak enjin serta minyak kotak gear yang mengandungi lebihan besi atau habuk besi di dalam enjin akan dibuang. Ia bagi mengelakkan enjin serta kotak gear kenderaan terhakis.

Kenderaan Terpakai

Sekiranya anda memilih untuk membeli kereta terpakai, seeloknya perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik sahaja anda memiliki kereta tersebut adalah dengan menukar minyak kotak gear serta rekodkan bacaan perbatuan kereta anda. Bagi kenderaan auto, minyak kotak gear hendaklah ditukar pada setiap perbatuan 15,000 km atau 20,000 km. Manakala, untuk kenderaan manual pula, minyak kotak gear perlulah ditukar setiap 40,000 km atau 50,000 km bacaan jarak perbatuan. Perkara ini adalah penting bagi menjamin kotak gear anda sentiasa bergerak lancar serta berada di dalam keadaan suhu operasi normal sepanjang masa.

Walaubagaimanapun, bacaan perbatuan yang perlu bagi menukar minyak kotak gear bergantung kepada model kenderaan dan jenis kotak gear anda. Ini boleh diketahui melalui panduan yang terkandung dalam manual kereta anda. Sebagai cadangan, pemilik kenderaan hendaklah menyertakan sekali rawatan gear sewaktu menukar minyak kotak gear tersebut. Selain itu, setiap kali anda melakukan servis penyelenggaraan kereta, pinta kepada mekanik yang bertugas untuk memeriksa sekali paras minyak di dalam kotak gear kenderaan anda. Pastikan ia berada melebihi paras minima. Awas, para pemandu dinasihatkan untuk tidak memandu kenderaan tersebut sekiranya paras minyak gear kurang daripada paras minima. Ini bagi mengelakkan kerosakkan gigi gear kenderaan.

Kenderaan Manual

Peringatan untuk pemilik kereta manual, anda diingatkan untuk tidak sesekali meletakkan kaki anda di atas pedal klac semasa memandu. Perbuatan tersebut boleh memendekkan jangka hayat piring klac serta merosakkan gigi gear kenderaan anda. Selain itu, anda juga dilarang untuk cuba-cuba melalukan putaran roda. Sekiranya anda tidak selesa dengan kedudukan pedal klac, minta bantuan mekanik kenderaan untuk laraskan paras klac tersebut agar sesuai dengan panjang kaki anda. Pemandu juga dinasihatkan untuk tidak memaksa pertukaran gear sebaliknya bolehlah mencuba untuk melepaskan brek tangan terlebih dahulu. Sekiranya berada di lampu isyarat, pastikan gear berada dalam kedudukan natural dan tarik brek tangan. Selain daripada itu, anda boleh meminta pertolongan mekanik untuk mengenalpasti kelajuan maksima kotak gear kereta anda dan janganlah memandu melebih kelajuan tersebut.

Kenderaan Auto

Buat pemilik kenderaan auto, anda perlulah memahami kegunaan semua paras gear yang ada di kereta anda iaitu P, R, D, L, 2 dan 3. Untuk pemanduan biasa, memadailah untuk anda gunakan gear D dan sekiranya mahu memotong, boleh gunakan butang “overdrive”. Namun begitu, sekiranya kenderaan anda tidak mempunyai fungsi butang “overdrive”, anda perlu memahami bahawa kenderaan tersebut tidak boleh dipandu secara agresif. Tambahan lagi, janganlah menggunakan butang “overdrive” pada kelajuan yang melebihi 100km/j kerana fungsi butang tersebut adalah seperti kita menurukan gear 5 ke gear 4 sehinggalah kita mematikan butang tersebut. Manakala untuk gear 2, 3 dan L adalah untuk kegunaan mendaki iaitu apabila kereta kita tidak dapat mendaki cerun yang curam. Paras gear ini hanyalah untuk kegunaan kelajuan rendah sahaja tetapi ia bergantung kepada jenis kenderaan anda.

Kenderaan Semi-Auto

Penggunaan minyak kotak gear yang dicadangkan oleh pengeluar kenderaan adalah sangat mustahak bagi jenis kenderaan semi-auto, triptronik dan steptronik. Pemilik kenderaan adalah dilarang menukar jenis minyak kotak gear kecuali setelah mendapat nasihat daripada pengeluar. Penukaran gear tinggi ke gear rendah juga mesti mengikuti kelajuan yang disarankan oleh pihak pengeluar.
Usah panik sekiranya anda mendapati ada lelehan atau kebocoran minyak atau minyak keluar dari kotak gear anda, ini kerana kotak gear anda tidak rosak. Berkemungkinan pelapik minyak kotak gear anda sudah rosak. Selain itu, pastikan paras minyak kotak gear anda dengan lebih kerap serta pastikan ia sentiasa cukup. Setiap kali anda menukar piring klac, gantikan juga pelapik minyak walaupun ia tidak bocor kerana jangka hayat pelapik minyak di dalam kotak gear biasanya sama dengan jangka hayat piring klac.

Kenderaan Auto Buatan Eropah

Sekiranya anda pemilik kenderaan kereta auto buatan Eropah atau bukan buatan pengeluar Jepun, pastikan anda tidak mengusik sebarang wayar yang bersambung dengan kotak gear anda sekiranya anda menaiktaraf sistem bunyi, penggera atau apa-apa pengubahsuaian. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk memandu dengan lebih cermat. Ini kerana sekiranya kotak gear anda rosak, kos membaikinya boleh mencapai purata sebanyak RM2,000 dan untuk menukar kotak gear boleh mencecah kos RM7,000 ke RM12,000. Oleh itu, anda hendaklah menjaga kenderaan anda dengan baik melalui penggunaan yang betul.

Sumber: tipskereta.blogspot.com